Friday, November 6, 2009

Tindakan disiplin

Lama betul tak menulis apa-apa di asam garam ni. Sebenarnya banyak cerita hal guru dan sekolah. Tapi bila lama tak menulis, dah tak tau nak mulakan macamana.

Baru-baru ni sekolah terpaksa mengambil tindakan disiplin ke atas 3 orang pelajar yang gambar mereka tersiar di ruang maya yang ramai boleh melihatnya. Gambar yang agak mencabar itu cukup memalukan sekolah. Apatah lagi status sekolah ialah sekolah agama. Di mana maruah anak-anak ini sewaktu gambar mereka diambil. (Mereka ambil sendiri)
Yang lebih menyedihkan lagi, mereka akan menghadapi SPM tak lama lagi. Tindakan terpaksa diambil sebagai hukuman kepada mereka dan pengajaran bagi pelajar yang lain.
Apakah mereka sangka oleh kerana SPM dah hampir, sekolah tak boleh mengambil tindakan apa-apa?
Cabaran teknologi moden, internet dan laman web sosial(facebook, myspace, friendster dll) menyebabkan sekolah terpaksa membuat amendmen terhadap undang-undang sedia ada.
Itulah hakikat kemodenan, ada yang terpaksa dikorbankan. Nampak gayanya, maruah anak2 akan terkorban jika budaya baru ini tidak dapat dikawal. Apa-apa pun, didikan agama adalah kunci segala-galanya. Menjadi 'bullet proof vest' yang akan menghalang anak-anak ini dari terkorban....

aah...coretan dari isi otak yang penat dan berserabut..
2010 akan lebih mencabar.....
perancangan sekolah masih perlu diteruskan.
so tak de cuti la nampaknya...

Friday, June 12, 2009

Syarat Yang Menyeksa

Patutkah saya tulis tentang hal ini walau pun saya mengajar subjek ini?
Fikir2kan lah polisi yang akan dikuatkuasakan terlebih dahulu... sebelum mangsanya adalah anak bangsa sendiri.

Syarat wajib lulus BI jika diperkenalkan akan lebih menyeksakan. Dah lah memang terseksa belajar Science dan Maths dalam bahasa Inggeris...ni ditambah lagi seksa sengsara mewajibkan bahasa yang bukan bahasa ibunda ini supaya lulus. Tanpa diwajibkan bukankah boleh dipertingkatkan kualitinya? Mengapa perlu diambil jalan lain untuk memperbaiki masalah yang nyata?
Pelik betul dunia pendidikan di Malaysia ni. Berada dalam sistem yang pelik memang merimaskan.

Kalau tak lulus nak buat macamana? Teruskanlah menyeksa anak bangsa...teruskanlah.

Wednesday, May 27, 2009

Bila Kita Kena Mengajar Apa Yang Kita Tak Tahu

Sebagai guru, rasanya seseorang tu takkan lari dari jadi serba boleh.. Di mana pun kita pergi kita akan jumpa guru yang mempunyai pelbagai bakat.
Saya tak kata saya boleh buat macam2. Tapi sangat penting untuk tahu macam2 sebab orang lain dan anak murid pandang kita sebagai 'guru'. Kan guru kena tau semua? Itu kata anak2 saya lah.
Mereka selalu tanya saya soalan yang susah2. Budak2 kan. Memang gitu. Lepas tu bila ada soalan yang saya tak boleh jawab (selepas ditanya bertubi2), mereka akan kata kat saya...
" Kan ke mak cikgu...kena la tau semua. Kan mak?"
Aiyoo...gitu rupanya...

Macam tu juga kalau kita baru masuk mengajar di satu2 tempat baru. Tak kiralah samada baru posting ke atau baru bertukar sekolah. Biasanya sekolah main bagi je subjek yang kita tak pernah ajar atau tak berkenaan langsung dengan latarbelakang kita masa kat universiti dulu.

Masa saya mula2 masuk Al Amin, antara subjek yang saya kena ajar ialah EST. Tau apa EST tu? Itu lah English Science & Technology. Satu subjek yang diperkenalkan oleh Kementerian kerana nak 'cushion' Science dan Maths in English. Masa tu tahun 2003- 2004, science and maths upper form belum lagi in English. Baru sampai Form 3 kot... So kalau pelajar ambil subjek ni, senang lah sikit masuk u.
Macamana pun saya sebenarnya tak faham sangat tujuan sebenar subjek ini diperkenalkan.

Bila saya kena mengajar subjek ni, buku teksnya pun tak ada, contoh buku latihannya pun tak ada. Apa yang ada? Modul sahaja. Itu pun modul2 silibus tu cuma ada contoh2 artikel sesuatu tema yang berkaitan sahaja. Dan sedikit contoh soalan dan format peperiksaan.
Tak kisah lah tu kan...at least ada something....
Malangnya modul yang saya dapat tu telah difotostat atas fotostat atas fotostat entah berapa kali menjadikan tulisannya blur menyakitkan mata memandang. Kalau saya guna untuk fotostat bagi pelajar saya, memanglah entah apa rupanya...

Pertama kali saya masuk kelas, saya cakap terus terang saja pada pelajar apa bahan yang saya ada. Mereka sendiri memang lah tak de buku teks... Jadi 100% bergantung pada apa yang saya sampaikan. Setiap kali saya kena prepare dulu, buat research sendiri dan cari bahan sendiri di internet. Nasib baik masa tu kira internet dah canggih dah dan tak susah nak cari bahan. kemudian saya fotostat dan buat soalan. Kira macam masuk kelas mengajar science in english le...sebab artikel semua scientific... Kelas yang paling simple, tapi persediaannya paling banyak. Cuma saya tak pasti pelajar saya tau tak susahnya nak prepare subjek ni bagi saya.
Bila result SPM keluar, tak de yang fail, tapi ramai tak score. Ada beberapa orang yang 1A, ramai juga yang 2A dan 3B. Alhamdulillah...

Tuesday, March 3, 2009

Selamat Pengantin Baru!

Hari ni saya terima kad jemputan kahwin dari bekas anak murid saya, Azahrin, waktu saya mengajar di Felda dulu. Wah, dah nak kahwin dia rupanya...Tapi tak de rezeki nak makan nasi minyak dia sebab adik ipar saya pun akan melangsungkan perkahwinan pada tarikh yang sama dan kami akan ke Lenggong. Jauh benar jaraknya dengan Pahang.
Tapi tak pe lah, saya doakan dia selamat dan perkahwinannya diberkati Allah SWT.
Dia antara yang lambat jugak kahwin sebenarnya. Ramai kawan-kawan seangkatan dengan dia yang dah lama kahwin dan dah ada anak dah pun. Setiap kali kalau saya balik ke rumah mertua, akan ada berita tentang bekas anak murid yang dah menimang anak. Kira macam saya dah jadi nenek la...(tua dah saya ni)
Gitulah jadi cikgu ni... Bila bekas anak murid kahwin, kita rasa semakin berumur... Banyak ke lagi baki umur saya, saya pun tak tau. Hanya Allah saja yang tau.

Selamat Pengantin Baru juga diucapkan kepada seorang lagi bekas anak murid saya (Al Amin) , Sakinah Hatta yang akan melangsungkan perkahwinannya tak lama lagi...

Saturday, February 28, 2009

Bapak saya kaya!

Mengajar bahasa inggeris di sekolah Felda memang mencabar. Hari pertama saya masuk kelas saya mengajar menggunakan bahasa inggeris sepenuhnya. Kelas BI lah katakan. Bersemangat saya...Bila dah dalam 10 minit mengajar gitu, saya perasan ada muka-muka yang tercengang macam blank gitu. Rupanya majoriti dalam kelas tu memang tak faham apa yang saya cakap walau pun bahasa inggeris yang mudah. Jadi, terpaksalah saya campur-campur BI-BM. Kekadang bila dah sebut dalam BI, saya terjemah pulak ke BM. Baru lah nampak ada kepala-kepala yang mengangguk-angguk apa yang saya cakap.

Walau pun macam tu, beza anak2 Felda dan yang di bandar, ialah kesopanan mereka dan rasa rendah diri. Mereka juga cukup menghormati guru. Tapi ada juga yang nakal-nakal.

Pernah satu masa saya mengajar tusyen yang dianjurkan oleh pihak JKKK. Waktu malam dan ok jugak bayarannya. Satu malam tu tetiba je black-out. Tapi pihak JKKK nyalakan lilin sementara. Jadi saya pun sembang2 je dengan anak-anak ini sambil menasihati mereka supaya belajar bersungguh-sungguh, dan dapat membantu mak ayah kelak. Ada seorang yang nakal angkat tangan dan menyampuk.

'Saya tak belajar pun tak pe teacher'

'Kenapa pulak? Awak dah kaya ke?'

'A ah, teacher tak tau ke setiap keluarga kat Felda ni ada tanah 10 ekar?'

'O, gitu. Awak tau tak tanah tu bapak awak punya?'

'Tau, tu sebab saya dah kaya sebenarnya'

Dia gelak2 sambil kawan2 yang lain yang nakal2 jugak ketawa terbahak-bahak....

Itu yang dia fikir rupanya.... Saya tergelak jugak sebab ada jugak benarnya apa yang dia cakap. Kalau dinilai, memang mereka ni semuanya anak orang kaya rupanya...

Wednesday, February 4, 2009

Guru Bergaduh

Selama saya jadi guru, memang biasalah ada guru yang berselisih faham. Biasanya saya jadi pendengar yang setia. Orang tengah la kira. Pihak yang berselisih faham mengadu hal pada saya. Kadang2 tak tahu nak adilkan macamana. Dengar je dan bagi nasihat sikit2.

Sehinggalah satu hari tu saya sendiri yang terlibat. Tapi secara tak sengaja dan tak disangka2.
Ada seorang guru yang rapat jugak dengan saya. Masa tu dia masih bujang. Di sekolah tu memang ada adiknya jugak bersekolah di tempat kami mengajar. Adiknya ni agak nakal dan suka tuang sekolah. Terikut-ikut kawan. Satu pagi dia tuang dan kantoi dek guru disiplin, j umpa dalam semak kat belakang sekolah dengan kawannya.

Sebenarnya cerita kantoi tu agak kelakar sebab duduk dalam semak kan.... Kami guru2 pun berceritalah pasal hal tu dan bila kawan saya ni masuk sembang sama, saya pun ceritalah kat dia kisah adiknya kantoi yang kelakar tu. Dia pun senyum2 buat muka seposen je.
Lepas kelas, bila balik ke meja saya, saya nampak satu nota kecil. Saya baca rupanya dari kawan saya tu. Dia marah betul sebab saya mengata adik dia di depan semua guru lain. Padahal kami dah puas gelak dan dah tau kisah tu. Dia je yang tak tau. Tapi kata-kata pedasnya dalam nota tu membuat saya rasa sedih. Kenapa dia tak nak bersemuka dengan saya dan hanya menulis nota. Pulak tu dia balik awal atas sebab nak uruskan adiknya tu. Jadi tak dapatlah saya nak minta maaf hari tu jugak. Saya menangis jugak sebab tak pernah ada orang berkata macam tu kat saya. Pedas pulak tu.
Lepas peristiwa tu, walau pun saya dah mintak maaf, kami dah tak serapat dulu. Dia pun tak lama lepas tu memohon mengajar sekolah lain.
Tapi bila dia kahwin, dia jemput saya. Dan saya pergi jemputannya. Masa tu dia dah ok dan mesra macam dulu. Tapi sayang, kami dah mengajar di tempat yang berbeza...Sekarang khabarnya dia mengikut suami di daerah lain di Pahang....dah berapa agaknya anak dia ya....

Kalau di sekolah sekarang ada jugak guru yang berselisih faham, saya harap sangat ukhuwwah mereka terjalin semula. Barulah kita semua dapat menjalankan tugas dengan tenang dan ceria... Tapi bukan bermaksud ada yang bergaduh atau berselisih...tak de pun..kalau je la...

Saturday, January 31, 2009

Hidup mesti Diteruskan, Akhirat misi Perjuangan

Bila anak murid kita pergi meninggalkan kita memang terasa sedihnya. Tak kiralah kerana tamat tingkatan 5 atau bertukar sekolah lain, mengikut ibu bapa atau dapat tawaran ke sekolah yang lebih baik. (menarik fasilitinya, gurunya dan persekitarannya, agaknya)

Saya akan tabahkan hati walau pun sedih, setiap kali mereka pergi. Hidup mesti diteruskan. Bila dah sibuk , saya lupa sedikit demi sedikit, tapi bila sesekali mereka datang berjumpa, saya tetap seronok dan gembira. Mungkin nama mereka saya lupa, tapi wajah2 bersih mereka akan tetap bersemadi di fikiran.

Hari ni saya dapat maklumat tentang beberapa anak murid yang akan ke MRSM. Dulu saya pun bekas pelajar MRSM. Mereka akan jadi sebahagian dari keluarga saya( satu hari nanti mungkin mereka join ANSARA). Bila mereka dah keluar, mereka macam saya, bekas pelajar MRSM.
Saya harap sangat mereka akan menjadi pelajar yang terbaik di mana pun mereka berada. Ada yang akan ke Pengkalan Chepa, Alor Gajah, Balik Pulau, etc. Bertebaranlah mereka membawa semangat Al Amin bersama.
Biarlah mereka terkenal sebagai bekas pelajar Al Amin. Kalau orang di MRSM tengok mereka nanti, biarlah mereka tertanya-tanya budak2 mana yang bagus2 ni? Rupanya datang dari Al Amin..

Cikgu doakan antum semua yang akan pergi akan memberi nama baik kepada ibu bapa, Islam, dan juga Al Amin. Di mana pun antum berada, jagalah akhlak. Buatlah yang terbaik dalam apa jua aktiviti. Jadilah pelajar yang dicontohi dan diikuti oleh yang lain, bukan kita terikut-ikut yang tidak baik.
Doa cikgu sentiasa bersama semua murid cikgu di mana jua...

Dari mana hendak ke mana
Tinggi rumput dari padi
Tahun mana bulan mana
Hendak kita berjumpa lagi

Tell me where you go from here
The grass grows taller than the padi grain
Tell me the month, tell me the year
When you and I shall meet again

Tuesday, January 27, 2009

Cepatnya Masa Berlalu

Cuti panjang Raya Cina kami ke Kuala Trengganu. Ajak mak mertua yang kesorangan di kampung, jadi balik ke sana dulu, ambik dia. Tapi saya tak nak bercerita tentang Trengganu. Saya nak cerita tentang apa yang saya lihat bila balik ke tempat nostalgik bagi saya seperti Felda di Pahang.

Bila lalu Bukit Mendi, memanglah teringat kenangan mengajar di sana. Dengan ladang kelapa sawit yang berderet, tak ada pemandangan lain yang dapat dinikmati. Tapi kehijauannya tu lah yang nikmat. Saya tau ianya nikmat bila saya dah mengajar di KL. Biasa lah. Bila dah tak de baru kita rasa kehilangannya. Bila dah asyik tengok hutan batu, baru lah tau nikmat hutan kelapa sawit yang hijau tu...emm

Lalu saje di Sek Keb Bukit Puchong, nampak banyak perubahan. Ada beberapa bangunan baru yang sedang dibina. Wah, bertuahlah budak2 situ. Sekolah dah besar! Tapi yang saya tau muridnya makin sedikit. Dah satu sesi. Yang tinggal kebanyakannya cucu peneroka. Tapi kenapa bangunan makin besar? Bila ditanya, katanya dulu masa sesak,ramai murid, memang mintak tambah, tapi tak dapat2. Akhirnya dapat juga walau pun lambat. Masalahnya terlampau lambat sampaikan murid pun dah tak de. Tapi buat jugalah sebab kerajaan dah bagi duit.....

Yang seronoknya ialah bangunan baru quarters guru. Cantiknya rumah teres dua tingkat tu. Alhamdulillah, kalau tak quarters buruk kayu yang lama usianya. Teringat kat Cikgu Sazali dan Kak Norliza isterinya yang duduk di situ. Masih lagi di situ! Dapat lah mereka merasa rumah baru. 2 orang ni memang guru yang gigih! Mereka cikgu suami saya dulu...bayangkan....

Tapi kesunyian memang terasa bila masuk ke Felda Bukit Mendi dan Bukit Puchong. Mana pergi semua orang? Yang tua tua dah ramai pergi meninggalkan dunia ini. Yang muda muda pun sama. Terutamanya yang lelaki. Mana nak kira yang keluar kerja ke bandar2 besar macam Seremban dan KL. Tambah lagi yang tewas kerana dadah dan Aids. Yang tinggal? Makcik2 tua dan cucu -cucu mereka. Entah la...kesian dan sedih mengenangkan.

Wednesday, January 21, 2009

Kolar Bajunya Carik

Tahun '97 saya masih di Bukit Mendi Pahang. Banyaknya perkara baru saya belajar sambil saya mengajar.
Murid saya kebanyakannya anak-anak peneroka Felda. Lebih 90 % rasanya. Yang 10 % lagi tu anak cikgu, pegawai Felda, Pengurus Kilang dll. Hujung minggu mereka diisi dengan membantu ibu bapa di ladang. Kalau ditanya apa yang mereka buat hujung minggu, mereka akan jawab, 'Tolak buah, teacher'
Maksudnya tolong ambik buah sawit di ladang. Samada dari pokok ke tanah, atau dari longgokan di tanah ke atas lori. Sampai sekarang saya tak pasti tolak buah tu macamana. Tapi kalau mereka cakap saya faham. Cuma nak terangkan saya tak reti. Kena tengok sendiri baru tau.

Mereka cukup menghormati guru. Yang nakal pelbagai gaya tu pun hormat guru. Malu kalau nampak saya di kedai atau mana-mana bukan kawasan sekolah. Tapi kalau dah bertembung mesti beri salam dan senyum tersipu-sipu. Ramai juga yang susah. Waktu harga sawit dan getah rendah, memang agak perit. Saya pun dapat rasa keperitan mereka. Sebab saya tinggal dengan mertua yang juga peneroka.

Pernah nak makan tengahari, tunggu hasil waktu pagi. Kadang-kadang duit gaji saya pun habis. Menumpang rezeki ayah ibu mertua. Kalau pagi hari tu dapat jual cili api berkilo-kilo, bolehlah duitnya dibeli lauk untuk tengahari.
Kadang-kadang jual keladi telur di kedai. Kadang-kadang pergi tangkap ikan sungai di ladang sawit, terutamanya musim panas. Air sungai hampir kering dan ikan haruan, dan banyak lagi ikan kecik2 meletik-letik kekurangan air. Senanglah tangkap. Rasanya pun sedap. Mak mertua saya sampai buat pekasam. Tu yang bila makan tak sedar mak mertua lalu kat belakang...sedap sangat.

Murid saya yang susah di Pahang dulu jauh beza dengan murid saya sekarang. Masuk kelas, rata-rata berbaju lusuh, tetapi kemas.
Cuma satu hari tu, waktu mengajar, macam biasa saya pusing keliling kelas. Stail saya memang macam tu, saya suka pusing kelas walau pun waktu saya bercakap. Saya dapat hampir dengan budak-budak yang duduk kat belakang. Yang kadang kadang buat kerja lain.
Dan boleh terus soal bila nampak dia orang main.
Ada seorang murid saya, lelaki yang suka duduk di belakang tapi dia baik. Tak suka main-main. Hari tu bila saya pusing kelas, saya pergi hampiri meja dia dan saya terperasan kolar bajunya. Carik koyak rabak yang tinggal cuma pengeras kain di dalamnya saja. Sedih dan sayu betul saya hari tu. Bila kelas habis, saya panggil dia dan tanya,
' Kenapa pakai baju koyak?
' Saya tak ada baju lain teacher, esok baru nak beli,'
'Kalau teacher belikan boleh?'
' Tak payah teacher, nanti mak saya marah.'
'Kenapa pulak mak nak marah? Teacher bagi je. Tak boleh tengok la anak murid saya pakai macam ni. Susah macamana pun, biar la baju elok. Lusuh tak pe jangan koyak..'

Dia tunduk macam nak menangis. Saya tau rumah dia di mana. Hari tu jugak saya pakat dengan seorang pengawas untuk dapatkan baju terpakai tapi elok. Saya nak keluar ke pekan agak jauh dan tak de kereta, kecuali hujung minggu. Dia senyum gembira bila kami bagi baju tu.
Esok dan seterusnya murid saya ini tak pakai dah lagi baju kolar koyak dia tu....

Monday, January 19, 2009

Bau Sekrap Getah

Saya sedang asyik mengajar waktu dia mengetuk pintu. Terkejut saya. Saya angguk dan dia terus masuk dan duduk di meja yang paling belakang. Kelas yang terhenti sebentar saya sambung semula.
Murid Tingkatan 4, mata pelajaran Bahasa Inggeris. Saya dah biasa dengan S, yang memang selalu lambat. Mula-mula dulu saya memang akan tahan dan soal dia. Tetapi setelah beberapa kali jawapan yang saya terima adalah sama, saya membuat keputusan untuk tidak bertanya lagi.

Dia tak pernah ponteng. Tapi S akan datang pukul 8 atau paling cepat pun 7.50 pagi. Dengan mukanya yang nampak letih dan seperti tak sempat mandi.
Namun dialah murid saya yang paling rajin. Rajin bertanya, rajin buat kerja rumah yang diberi, rajin menolong kawan dan guru.

Dulu-dulu saya akan tanya:
'Why are you late?'
'Emm, I'm sorry teacher'
'What happen?'
Murid dalam kelas tersenyum-senyum. S tak menjawab soalan saya.
Saya tanya lagi:
'Kenapa lambat? Dah pukul 8 ni baru sampai.'
' Saya tolong mak'
'Tolong mak buat apa?'
'Tapping rubber' - Masa nilah saya tau dia murid yang cerdik. Jawapannya cuma membuat saya diam dan saya suruh dia masuk dan duduk.
Dia tak pernah mengantuk dalam kelas walau pun dia bangun awal dan menoreh getah mengikut maknya.

Tapi memang badannya nampak letih dan kebanyakan hari dia datang ke sekolah dengan bau getah sekrap....Tapi saya tak kisah. Dia tetap murid saya...

Di mana dia sekarang agaknya?

Mulanya Di Sini...

Saya mulakan blog baru ini kerana teruja melihat rakan blogger, Hasif yang memulakan blog beliau yang kedua kerana ingin membezakan antara luahan hati dan sajak-sajak jiwang beliau.
tapi saya bukanlah nak bersajak dalam blog baru ni. Cuma sesekali ingin mencatat kenangan dan pengalaman saya sebagai guru.

Kalau blog satu lagi (First Things First ) mencatit pelbagai rasa dan peristiwa, penuh dengan bahasa spontan dan rojak saya, blog yang ini akan saya catatkan dalam bahasa ibunda sepenuhnya yang boleh. Mungkin akan ada kesilapan di mana-mana kerana (bukan nak berbangga, mintak dijauhkan ) minda saya memang kekadang berbahasa asing. Terpaksa diterjemah semula ke bahasa melayu. Kenapa saya berfikir dalam bahasa inggeris juga? Nanti lama lama orang akan tau jugak.

Saya alu-alukan guru-guru lain di luar sana untuk berkongsi cerita dengan saya dan menjadi pengikut blog ini. Mungkin banyak faedahnya bila berkongsi pengalaman ni....Saya juga alu-alukan kehadiran murid-murid saya walau di mana pun mereka berada.....